Pelajar PTPL tawan Gunung Stong
Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU 26 Okt. - Seramai 19 pelajar termasuk dua pensyarah dari Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Kota Bharu berjaya menawan puncak Gunung Stong, Dabong, Kuala Krai dalam ekspedisi mendaki gunung setinggi 1,433 meter baru-baru ini.
Ekspedisi selama tiga hari menawan gunung yang terletak di selatan negeri ini dianjurkan pelajar yang menganggotai Kelab Kembara PTPL dan mendapat kerjasama Bahagian Akademik kolej tersebut.
Para peserta yang terdiri daripada lima perempuan dan 14 lelaki sampai ke puncak dalam masa enam jam setelah memulakan pendakian dari Resort Taman Negeri Gunung Stong pada pagi hari kedua ekspedisi.
Presiden Kelab Kembara, Mohd. Ikram Hafiez Ishak, 21, berkata, pada malam sebelum pendakian, mereka menginap di resort di kawasan berhampiran terlebih dahulu setelah melalui perjalanan jauh lebih 150 kilometer dari Kota Bharu ke Dabong.
"Kami bertolak pada petang 14 Oktober dengan kereta api dari Stesen Kereta Api Wakaf Bharu untuk sampai ke Dabong dan kemudiannya menaiki van untuk sampai ke kaki Gunung Stong menjelang malam.
"Keesokannya kami mula mendaki pada pukul 8.30 pagi dengan bantuan pemandu arah pegawai resort dan lebih kurang dua jam selamat tiba di Kem Baha yang merupakan transit sebelum ke puncak.
"Perjalanan diteruskan setelah mendirikan khemah dan berehat sebentar dan pada pukul 3 petang kami akhirnya berjaya menawan Gunung Stong," katanya kepada
Utusan Malaysia, kelmarin.
Mohd. Ikram berkata, peserta berada di puncak selama setengah jam untuk menikmati keindahan panorama alam dari atas gunung sebelum turun semula ke Kem Baha dan bermalam di khemah yang telah didirikan.
Jelasnya, mereka juga tidak melepaskan peluang berkelah dan mandi di kawasan air terjun yang terkenal di kalangan pendaki.
Katanya, dengan kejayaan menawan gunung itu, pihaknya kini merancang untuk mendaki Gunung Tahan pula pada tahun hadapan.
"Ekspedisi ini benar-benar menguji minda dan stamina kami yang rata-rata terdiri daripada pelajar jurusan makmal perubatan.
"Sebelum ini 'kembara' yang kami lakukan hanyalah di sekitar tapak industri dan lawatan sambil belajar yang rutin, kali ini, kami merasai sendiri bagaimana penatnya menerokai alam semula jadi tetapi puas hati.
"Di samping memupuk kecintaan kepada aktiviti lasak yang sihat, ia juga merapatkan lagi hubungan antara kami termasuk dengan pensyarah yang menjadi pengiring," katanya.